Assalammualaikum dan hai semua,
Lama sungguh Neeza tak buat sebarang coretan dalam blog ini dan entri ini merupakan entri pertama Neeza untuk tahun 2019. Apapun terlebih dahulu, Neeza mohon maaf kerana Neeza dah lama tak dapat memberikan sebarang komitmen terhadap blog kerana Neeza ingin fokus pada matlamat hakiki realiti sebagai seorang pelajar sarjana muda. Bila bergelar final year student ini, ini adalah waktu kritikal. Apapun syukur sekarang ini Neeza sudah habiskan subjek-subjek yang melibatkan kedatangan ke kelas.
Sekarang, Neeza cuma ada masa selama beberapa hari lagi sebelum memulakan latihan industri sebagai pelajar praktikal. Ikutkan sekarang dah cuti semester tau sebab Neeza baru sahaja menjalani peperiksaan dua subjek terakhir seminggu yang lalu. Jadi, ada masa seminggu untuk berehat.
Sebenarnya tak berehat pun sebab Neeza sibuk apply syarikat sini sana dan pergi temuduga. Jangan ingat, intern tak kena temuduga tau. Huhu. Setelah dah confirm dengan pengambilan di syarikat, Neeza kena ulang alik fakulti untuk prosedur dan dokumen-dokumen berkaitan. Akhir sekali, Neeza habiskan beberapa hari untuk minggu ini mencuba beberapa eksperimen. Haaaa eksperimen?
Okay macam ini ceritanya. Neeza kena ulang alik dari Shah Alam ke Damansara untuk tiga bulan akan datang ini. Biasalah, rezeki dapat tempat kerja ini selalu jauh sikit dari tempat tinggal. Betul tak? Dalam beberapa hari Neeza buat eksperimen ini, Neeza lihat ramai je warga kota yang ulang alik pergi kerja jauh. Macam mana tahu? Neeza perhatikan mereka yang naik dari stesen pertama sampai stesen terakhir. Lepas itu ada yang tukar pengangkutan, contoh dari MRT ke LRT. Gitulah ceritanya,
Mesti korang tertanya kenapa tak sewa je? Ikutkan nak sewa bilik di Damansara tapi Neeza tak dapat jumpa bilik yang menepati kriteria terutamanya bajet. Neeza tak boleh nak lepaskan rumah di Shah Alam ini kerana Neeza kena juga duduk sini untuk habiskan final year projek setelah tamatnya latihan praktikal selama tiga bulan. Lagipun dah banyak betulkan kerosakan bilik ini, sayang ohhh kalau lepaskan mesti penyewa baru yang untung. Jadi malas nak sakit kepala, baik ulang alik jelah. Nak cari bilik sewa dekat sana pun tak murah. Tak adanya RM150 ke bawah. Maklumlah Damansara itu kira kawasan have-have jugak!
Banyak isu juga melibatkan cari rumah sewa di Damansara ini. Pertama sekali bajet. Kemudian, tak banyak tuan rumah nak bagi sewa untuk jangka masa pendek untuk pelajar praktikal. Kontrak kena 6 bulan ke atas, kalau tak, selamat tinggal kepada deposit rumah yang kebiasaanya 2+1. Banyak itu. Kalau ada nak bagi sewa jangka pendek, harga sewa agak tinggi dari harga yang diberikan kepada mereka yang tandatangan kontrak lama.
Itu sebab Neeza ambil keputusan untuk ulang alik. Dari kecil Neeza lihat mak ulang alik Batu Pahat-Muar selama beberapa tahun, tak kanlah Neeza tak boleh untuk tiga bulan. Bila duduk di kawasan bandar Selangor mahupun Kuala Lumpur, rasa bersyukur sangat sebab kemudahan pengangkutan awam di sini banyak jadi mudah nak ke mana-mana. Jadi Neeza ambil masa beberapa hari bangun teramat awal setiap bagi untuk cuba pelbagai jenis laluan, jalan pendek dan jalan jauh untuk ketahui jalan mana yang terbaik untuk Neeza ambil setiap hari dan masa sampai ke pejabat. Itu yang penting.
Bila dah tahu semua laluan LRT-MRT-bas, sebenarnya mudah nak aturkan lagi-lagi nak short cut. Kadangkala tak ada dalam Google Maps pun sebab sistem tak berupdate. Jadi pandai-pandailah explore dan ramah dekat pemandu-pemandu bas atau kaunter LRT/MRT. Itu pendekatan yang Neeza lakukan dan tips ini berguna bagi mereka yang solo travel nak datang ke sini atau ke mana sahaja lokasi.
Oh ya, bila ulang alik ini, lompat dari satu pengangkutan awam ke satu pengakutan awam itu adalah biasa melainkan kalau anda sememangnya bertuah. Yelah contoh dapat kerja di kawasan KL Sentral, jadi naik satu bas dari Taman Sri Muda yang sememangnya lalu KL Sentral sebelum berakhirnya perkhidmatan bas di hub Pasar Seni. Bila lompat-lompat ini pun bukanlah murah juga tambang. Kadang-kadang sama je tambang pengangkutan awam ini dengan kos naik kereta. Masing-masing ada pro & cons ya tak?
Akan tetapi Neeza tak perlu risau dan Neeza rasa bersyukur sangat sebab pihak Rapid KL sekarang ini dah perkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had MY100 dan MY50 untuk warganegara Malaysia yang baru sahaja dilaksanakan bermula pada awal tahun ini, Januari 2019. Memang jimat banyak bila Neeza buat kira-kira. Harap-haraplah Pas ini kekal lama.
Rapid KL telah memperkenalkan dua jenis pas perjalanan iaitu;
#My100unlimited - Pas Perjalanan Tanpa Had RM100 selama 30 hari bagi perkhidmatan LRT, MRT, Monorel, BRT, Bas Rapid KL dan Bas Perantara MRT
Manakala,
My50 - Pas Perjalanan Tanpa Had RM50 selama 30 hari bagi perkhidmatan Bas Rapid KL dan Bas Perantara MRT kecuali BRT.
Best kan? Kalau Neeza sah-sah kena ambil RM100 itu.
Bagaimana nak beli dan baharui (buy or renew)
Pembelian dan pembaharuan pas boleh dilakukan di SEMUA stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan lima hab bas terpilih;
1. Pasar Seni
2. Seksyen 2, Shah Alam,
3. Sri Nilam
4. Greenwood
5. Terminal Kajang
Anda boleh pilih untuk aktifkan pembaharuan pas secara automatik atau manual yang perlu dilakukan di Kaunter Khidmat Pelanggan Rapid KL setelah pas anda tamat.
Okay, untuk kali pertama pendaftaran, Neeza dicaj RM110 untuk My100 manakala RM55 untuk My50 untuk mengelakkan sebarang kesulitan, nilai baki hendaklah mencukupi untuk pembaharuan automatik sebelum pas tamat tempoh. Baki minimum kena ada RM10 untuk My100 dan RM5 untuk My50.
Kena ingat! Pas tidak boleh dibatalkan selepas pembelian atau pengaktifan. Tiada pemulangan baki pas untuk kad yang hilang.
Menariknya bila anda nak beli atau aktifkan Pas Perjalanan Tanpa Had ini, hanya guna IC atau MyKad manakala MyTentera untuk mereka yang bekerja sebagai tentera. Yang penting MyKad anda kena ada logo Touch N Go baru boleh daftar dan aktifkan Pas Perjalanan Tanpa Had tersebut.
Nak elak cip rosak, pakai je tag ni
Kalau hilang atau rosak macam mana?
Untuk MyKad/MyTentera yang rosak, hantar butiran dan dokumen seperti di bawah ke portal pemulangan baki di www.myrapid.com.my
1. Nombor MFG MyKad/MyTentera (rujuk slip yang diberikan oleh pegawai JPN
2. Nama bank anda
3. Nombor akaun bank anda
4. Resit pembelian/pembaharuan My100/My50 terkini
5. Slip pengembalian nilai Touch N Go daripada JPN ( untuk MyKad)
Baki hari pas akan ditukar kepada nilai tunai dan dimasukkan ke dalam akaun bank dalam tempoh 30 hari selepas laporan dibuat berdasarkan butiran dan dokumen yang anda berikan.
Tempoh sah laku My100 dan My50 untuk tempoh 30 hari (termasuk hari minggu) bermula dari akses pertama selepas pembelian atau pembaharuan dilakukan. Contoh Neeza aktifkan 10 haribulan maka 9 haribulan itu adalah hari luput. Maka sebelum atau pada 9 haribulan dah kena renew semula.
Baru je daftar Pas Perjalanan Tanpa Had
Jumlah baki hari yang tidak digunakan tidak boleh dibawa ke bulan hadapan. Oh ya bulan pertama je RM110 kemudian RM100 sahaja untuk bulan seterusnya. Itulah yang diterangkan kepada Neeza semasa Neeza nak daftar pas ini. Kalau salah, salahkan orang kaunter itu. 😆 Untuk info lebih lanjut layari www.myrapid.com.my
p/s: Bagi pengguna 'Park n Ride' di stesen-stesen LRT atau MRT sila gunakan MyKad/MyTentera yang sama untuk menikmati kadar rata parkir.
Jadi dah fahamkan? Memang jimat sangat-sangatlah, Jadi Neeza nak berkongsi dengan anda semua supaya lebih ramai gunakan Pas Perjalanan Tanpa Had jadi Rapid KL bolehlah kekalkan Pas ini dengan lebih lama ya tak. Hmm, Entri ini bukan sponsored post Rapid KL okay. Hahaha. *Untuk kepentingan diri sendiri juga biarlah pas ini kekal selama Neeza buat internship dekat Damansara itu sebenarnya huhu*
Itu sahajalah perkongsian Neeza hari ini. Neeza masih tak tahulah sama ada Neeza akan aktif berblog semula atau tak. Faham-fahamlah kalau dah mula bekerja lepas itu kena ulang alik, kemudian nak siapkan fyp lagi, tak tahulah ada masa ke tak. Tengoklah keadaan macam mana. Doakan yang terbaik untuk Neeza okay.
Sekian sahaja, salam sayang.
No comments:
Post a Comment
No word verification needed. You are freely to drop any comments includes opinion and suggestion here. Thank you :)