Thursday, 8 February 2018

Lokasi Menarik di Muar - Rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar (Part 2)

Assalammualaikum dan semua,
Hari ini Neeza nak teruskan bercerita tentang pengalaman menarik bersama rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar pada hari kedua. Inilah pandangan pagi dari bilik Neeza selepas Neeza bangun dari tidur. Rasa macam tak nak bangun sebab rasa selesa sangat menginap di Muar Traders Hotel.
Bilik selesa macam ni rasa sayang je nak bangun awal. Huhu
Selepas membersihkan diri dan mengemas beg, Neeza terus ke Ayu Cafe untuk menikmati sarapan pagi yang disediakan secara percuma untuk mereka yang menginap di Muar Traders Hotel. Sarapan memang best dan sedap.
Nampak ringkas je Ayu Cafe ini tapi makanannya sedap
Pre breakfast at Muar Traders Hotel. Lepas ni makan lagi.. huhuhu
Muar Traders Hotel
Alamat: No. 16, Pusat Perdagangan Muar, Jalan Peteri, 84000, Muar, Johor, Jalan Peteri, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar, Johor
Nombor Telefon: 06-953 8100
Website:http://www.muartradershotel.com.my/

Selepas selesai urusan check out, kami meneruskan perjalanan kami untuk sarapan lagi di R&H Cafe  Satey Maharani Muar yang bertempat di Jalan Temenggung Ahmad di mana lokasi ini terletak di hadapan taman perumahan Neeza. Sarapan kali ini lebih terarah Gaya Muo, Orang Muo. Apa keistimewaannya?
R&H Cafe ini bersebelahan Kedai Dobi An-Nisa dan Restoran Norsiah
Kalau datang ke Muar ini, jangan terkejut kalau anda ke gerai-gerai sekitar Muar dan anda nampak mereka tengah bakar sate. Ya, sate dihidangkan pada waktu pagi dan bukannya malam seperti kebiasaan di bandar Kuala Lumpur dan tempat lain.
Selain daripada sate, kalau datang ke Johor ini tak sah kalau anda tak merasa lontong, mee rebus, kuih muih, dan banyak lagi. Malahan makanan hipster seperti meetball cheese pun ada tau di R&H Cafe Satey Maharani.
Macam-macam aneka kuih muih yang dijual di R&H Cafe
Sedap karipap ini. Isi memang penuh dan padat dengan inti. Bukannya kosong dengan angin.
Signature baru di R&H Cafe Satey Maharani iaitu meatball cheese. Padu!
Nasi lemak ada..
Mee rebus pun ada...
Lontong wajib dicuba kalau datang Johor.. bukan masa raya je jumpa, hari-hari anda boleh nikmati
Memang meriah dan ramai betul orang yang singgah dan makan di R&H Cafe Satey Maharani ni. Maklumlah R&H Cafe ini pun telah lama wujud di bandar Muar ini dan sememangnya dikenali oleh warga Muar dan ia juga merupakan antara lokasi sarapan pagi yang menjadi perhatian Tuanku Sultan Johor sekiranya datang ke bandar Muar bandar Maharani.
R&H Cafe Satey Maharani
Alamat: No15, Jalan Temenggong Ahmad 26/1, Taman Sri Temenggong, Jalan Temenggong Ahmad, 84000 Muar, Johor
Operasi: 7.30 pagi hingga 12.30 malam (Tutup hari Jumaat)
Nombor Telefon: 016-625 3666

Okay, selesai sahaja rombongan kami menikmati sarapan pagi di R&H Cafe Satey Maharani, kami bergerak menuju ke Don Hu Jurassic Park Garden, Muar yang terletak di Kampung Sabak Aur, Muar. Tak jauh pun kalau anda gerak di R&H Cafe Satey Maharani yang terletak di Jalan Temenggung Ahmad, terus sahaja menuju ke Lebuhraya AMJ. Kalau orang Muar, kami biasa panggil bypass. 
Okay, dah sampai ke destinasi Don Hu Jurrasic Park Garden
Menurut wakil Tourism Muar, selain daripada menaikkan bandar Muar sebagai bandar pelancongan dan juga pusat perabot utama bertaraf dunia, mereka kini ingin fokuskan Muar sebagai pusat tumbuhan lanskap negara dan terdapat lebih 300 nurseri tanaman hiasan dan lanskap di Muar. Untuk menarik lagi perhatian pelancong dan warga tempatan, Don Hu Jurrasic Park Garden telah dibina oleh pengusaha perusahaan pokok, Dato Heng Chiang Wee yang sememangnya mempunyai minat terhadap haiwan prasejarah ini. 

Untuk pengetahuan anda, pemilik Don Hu Jurrasic Park Garden ini sendiri yang menghias kebun perusahaan pokok semaian miliknya dengan patung dinosaur yang ditempah khas dari China di mana setiap satu dinosour ini berharga antara RM10 000 hingga RM 30 000.

Kalau nak tahu, Don Hu Jurrasic Park ini telah viral di laman media sosial terutama di Facebook pada tahun lepas. Bukan sahaja orang dewasa yang boleh datang ke sini, malahan kanak-kanak juga akan terhibur tau. Maklumlah kalau Jurrasic Park je mesti kita ingat dinosour yang menakutkan dalam setting bikin orang gerun. Tapi kalau datang ke Don Hu Jurrasic Park ini, mesti kanak-kanak sangat gembira. Taman tema yang penuh dengan warna ceria. Tak silap tahun lepas, anak saudara iolls, Muizzuddin pun dah ke sini. Jom lah mak ayah, bawa anak-anak anda ke sini, aktiviti beriadah yang sangat santai.

Mesti ada yang tertanya berapa bayaran masuk ke Don Hu Jurrasic Park Garden. Ketika ini, masih belum ada bayaran dikenakan kepada pengunjung-pengunjung yang datang ke sini. Namun begitu, RM5 akan dicaj sekiranya anda menaiki kenderaan comel dinosour dan pusing-pusing ke dalam taman tema penuh warna-warni. Terasa di dalam alam fantasi. Gitu~
Nak panggil siapa itu?
Rasa macam berada di alam fantasi zaman kanak-kanak.
Inilah kenderaan comel itu, Senang je nak pandu. Tapi kelakar juga kalau terleka sikit terlanggar. I pun terhibur k.
Selain itu, terdapat juga persembahan dinosour. Sangat menarik tau. Comel je lihat keletah dinosour-dinosour ini. Tapi seriuslah memang besar patung-patung ini.
Selepas tengok persembahan, kalau nak bergambar dan mengenali spesies-spesies dinosour, bolehlah menuju ke taman yang berada di luar.  Macam-macam spesies ada.
Dinousour ini tak makan daging, cuma tumbuh-tumbuhan, tapi kenapa dia besar ek? *curious*
Yang ini kecil molek.
Ini I pun takut.
Hilang muka garang bila pakai sarung tinju. Comel sangat!
Sekiranya berminat untuk datang ke Don Hu Jurrasic Park ini, boleh hubungi untuk maklumat lebih lanjut;
Don Hu Jurassic Park Muar
Alamat: 2700, 224, Kampung Sabak Aur, 84000 Muar, Johor
Waktu Operasi: 10.00 pagi hingga 6.30 petang (Tutup hari Rabu)

Selesai sahaja melawat ke Don Hu Jurrasic Park, rombongan kami bergerak ke Nurseri Tankok Leyong. Seperti yang Neeza katakan tadi, Muar bukan sahaja pusat eksport perabot terbesar, malahan kini Muar merupakan pusat eksport nurseri terbesar bandar landskap dan terdapat lebih 300 nurseri tanaman hiasan dan lanskap di Muar Oh ya, disebabkan rombongan kami kebanyakan adalah warga Kuala Lumpur, ramai di kalangan kami yang hanya tahu Sungai Buloh sebagai lokasi tanaman. Tahukah anda? Sebenarnya Muar merupakan antara salah satu supplier kepada nurseri yang terdapat di Sungai Buloh? Haaaa.. jadinya kalau nak beli pokok, kalau anda rasa Sungai Buloh murah, kalau beli di Muar lagi murah dan berbaloi. 
Generasi kedua dan ketiga orang kuat Nurseri Tan Kok Leyong (berbaju putih)
Sekiranya berminat, bolehlah datang ke Tan Kok Leyong di mana ia adalah salah satu nurseri yang terbesar di Muar ini. Nurseri ini telah ditubuhkan pada tahun 1976 oleh Encik Tan Kok Leyong. Di nurseri ini terdapat pelbagai tanaman lanskap berkualiti tinggi dari penutup tanah ke pokok besar dan pokok palma, tumbuhan pasu, bonsai, turfing, bahan penanaman buah-buahan dan bekalan estet, bekalan aksesori landskap, landskap serta reka bentuk taman.

Kini, nurseri Tan Kok Leyong merupakan antara salah satu pemborong terbesar yang diiktiraf oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Lihatlah betapa besarnya ladang tanaman Tan Kok Leyong ini. Macam-macam spesies tumbuhan ada dijual di sini.
Rasa macam berada di Cameron Highland
Aloe Vera ini wajib dibeli untuk mereka khususnya wanita yang ingin cantik.
Macam-macam bentuk kaktus ada
Pokok-pokok besar dan botani turut dijual
Pokok bonzai paling tua sekitar 250 tahun ketinggian 10 meter dan boleh mencapai 15 meter maksima
Art of plant. Cantik kan?
Dah dekat Tahun Baru Cina ini. Masih berfikir nak bagi apa semasa melawat rakan-rakan dan saudara mara berbangsa cina atau tak tahu nak dekorasi rumah anda sempena Tahun Baru Cina? Ini adalah penyelesaiannya. Beli sahaja tumbuhan di Tan Kok Leyong boleh buat dekorasi atau hadiah sempena kunjungan.Settle!
Masih tak tahu nak beli spesies tumbuhan apa? Seperti kita tahu, orang berbangsa Cina ini mempunyai kepercayaannya tersendiri seperti Yin dan Yang, zodiak dan sebagainya. Takut tersalah beli, ini adalah berdasarkan maklumat hiasan bunga dan maksud yang Neeza cari di Google yang mana anda boleh pertimbangkan, mungkin.
  • Bunga plum - melambangkan tuah
  • Kumkuat - melambangkan kemakmuran
  • Narcissus - melambangkan kemakmuran
  • Bunga kekwa - melambangkan panjang umur
  • Buluh - tumbuhan digunakan sepanjang tahun
  • Bunga matahari - bermaksud tahun yang elok

Comel je pokok buluh ini. Neeza pun ada satu dekat rumah Shah Alam
Untuk keterangan lebih menyeluruh, boleh hubungi;
Tan Kok Leyong
Alamat: No. 160, Store Kg Paya Panjang,, Jalan Bukit Pasir, 84300 Muar, Johor
Nombor Telefon: 606 952 3555 / +606 952 7959

Dah nak tengahari ini. Perut pun lapar. Selesai sahaja menjelajahi seluruh kawasan nurseri Tan Kok Leyong, kami bergerak ke Ladang Nasuha Herbs yang terletak di Pagoh.

Semasa kunjungan rombongan kami tiba disambut oleh pengusaha Nasuha Herbs sendiri, Tuan Haji Nasuha yang memberikan sedikit taklimat dan info tentang ladang herba ini.
Inilah Tuan Haji Nasuha, pengusaha Nasuha Herbs
Menurut Tuan Haji Nasuha, ladang herba dan rempah ratus ini berkeluasan 3200 ekar di mana ia telah melayakkan kawasan ini dinobatkan sebagai ladang herba organik yang terbesar di Asia. Ladang herba ini telah beroperasi selama 35 tahun. Ladang Nasuha ini dikelilingi oleh lebih 10,000 tanaman herba dan pokok kayu berkhasiat seperti asam gelugor (Garcinia), kacip fatimah, tongkat ali, kacip fatimah, kemangi, akar tarum, hempedu bumi, jarum mas dan urang-aring. 

Hasil tanaman herba ini, Nasuha Herbs juga mengeluarkan produk-produk keluarannya sendiri seperti produk makanan tambahan mengurangkan berat badan, sabun herba, dan banyak lagi. Yang penting produk Nasuha Herbs bukan produk timbang kilo tau. Nasuha Herbs merupakan syarikat tempatan mempunyai kilangnya sendiri dan telah mendapat pengiktirafan dan kelulusan dari organisasi dunia seperti Amerika Syarikat di mana produk Nasuha Herbs adalah 100% organik. Bukan senang tau.
Bukan sahaja produk makanan tambahan, malahan Nasuha Herbs mengelurkan rempah ratus keluaran sendiri di bawah jenama Mak Siti. Macam-macam ada, sup, rendang, serbuk kunyit, kari ikan, kari daging, sotong dan banyak lagi.
Kalau datang ke Nasuha Herbs ini, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Restoran Herba untuk mencuba beriyani herba. Menariknya, ketika melangkah masuk ke dalam Restoran ini, seni dekorasi dalaman Restoran Herba ini mengadaptasikan suasana hutan khatulistiwa.

Kerusi dan mejadiperbuat daripada kayu balak asli dan dicat dengan warna coklat. Selain itu, terdapat juga lantai pijak yang berfungsi untuk membuat urutan refleksologi. 2 dalam 1 gitu.
Inilah lantai pijak. Tak sakit pun.
Inilah menu istimewa Restoran Herba di Nasuha Herbs iaitu beriani herba ayam, daging dan kambing, sup herba serta teh dengan pilihan pelbagai herba,
Sedap sangat! Rugi tak cuba
Kanan air sirap, kiri air herba. Amboi sikit benar Neeza ambil, takut sangat budak ni dengan air herba :-p
Haaaa.. pilih-pilih. Macam-macam ada. Pelbagai rasa. Yang nak kurus ambil Garcinia ok :-p
Sekiranya berminat untuk membeli produk-produk keluaran Nasuha Herbs, di hadapan restoran terdapat kaunter yang menjual barangan Nasuha Herbs dan Mak Siti.
Antara produk yang mencuri tumpuan Neeza iaitu sabun Sertu dan Samak. Sesuai untuk umat Islam untuk membersihkan najis Mughallazah. Tak payah susah nak cari tanah debu suci. Guna ini lagi mudah.
Selesai menikmati hidangan beriyani kambing dan membeli belah, rombongan kami dibawa melawat dan melihat pelbagai herba seperti all spice, garcinia dan banyak lagi di ladang Nasuha Herbs.
Inilah wakil Nasuha Herbs yang memberi pelbagai info berguna tentang tumbuhan herba di sini
Inilah pokok Garcinia aka asam gelugor @ asam keping
Alaaa.. tak ingat pula nama tumbuhan ini :')
Rusa pun ada di sini tau.
Kerbau pun ada okay!
Inilah kilang Nasuha Herbs. Dibina di dalam kawasan ladang herba ini. Yang penting 100% organik
Seronok rasanya dapat melawat kawasan sekitar Nasuha Herbs ini. Teruja melihat ciptaan Tuhan. Setiap pohon terdapat keistimewaannya dari segi fungsi, wangian, dan rasa. Memang jiwa alam sekitar Neeza ini. 

Di Nasuha Herbs turut menyediakan pakej penginapan resort, program aktiviti lasak seperti menjelajah hutan, berakit, berkayak dan merempuh halangan selain dari pelancongan Herba. Untuk maklumat lebih lanjut,
Nasuha Herbal Farm
Alamat: Km19, Jln Muar-Pagoh, 84500 Muar, Johor. 
Nombor Telefon: 06-973 7231

Selepas Nasuha Herbs, Galeri Darurat Bukit Kepong merupakan lokasi terakhir Rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar Bandar Diraja. Mesti ada yang tertanya apa sebenarnya yang berlaku di Bukit Kepong sehinggakan difilemkan dan mempunyai galeri muziumnya sendiri?

Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong merupakan kejadian serangan komunis yang berlaku semasa keadaan darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut, balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi (Waktu Malaysia Barat, jika sekarang 5.30 pagiwaktu yang telah diselaraskan bersama-sama Semenanjung, Sabah dan Sarawak sekarang) pada 23 Februari 1950.

Dalam kejadian tersebut, sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota Polis Marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Dalam kejadian ini, 17 orang anggota polis dan hampir 40 orang komunis telah terkorban. Sumber-Wikipedia

Bagi mengingati pengorbanan wira negara, pembinaan Galeri Darurat Bukit Kepong yang siap pada tahun 2016 telah menelan kos RM11.5 juta yang berkonsepkan ruang pameran bagi menghargai jasa dan pengorbanan 25 anggota polis, keluarga dan orang awam yang telah mempertahankan balai polis tersebut dalam serangan pengganas komunis pada 23 Februari 1950. 
Ruang depan Galeri Darurat Bukit Kepong
Melalui galeri inilah, PDRM dapat mengekalkan fakta yang telah berlaku suatu ketika dahulu agar ianya dapat dihayati oleh generasi muda kini serta yang akan datang sama ada di dalam pasukan polis sendiri mahupun masyarakat awam.

Bahan-bahan sejarah yang dapat dilihat dan masih dipelihara dengan baik dapat dilihat oleh para pengunjung. Galeri ini adalah peninggalan peralatan-peralatan yang pernah digunakan oleh pihak komunis, profil anggota polis yang terkorban di dalam serangan tersebut dan terjemahan suasana tiga dimensi (diorama) sekitar tahun 1950an.

Serius tak bosan langsung. Malahan air mata sempat menitik kerana tak tahan sebak melihat kesungguhan perwira ini bersungguh mempertahankan negara. Sehinggakan Neeza sendiri jelajah dari Tingkat 1 sampai Tingkat 3 nak tahu keseluruhan cerita dan suasana zaman itu.
Pakaian seragam anggota polis berbeza abad
Inilah pakaian anggota polis Bukit Kepong sewaktu tragedi Bukit Kepong berlaku
Pakaian, pengangkutan dan peluru digunakan oleh pihak komunis
Keadaan balai ketika 1950
Inilah asrama untuk anggota polis bujang. Nak tahu suasana rumah anggota yang dah berkahwin? Datanglah ke galeri darurat
Senjata yang digunakan. Mana satu ya M16?
 Pakaian seragam anggota polis yang menyamar sebagai komunis masih dijaga rapi dan berkeadaan baik
 Inilah jeti balai polis bukit kepong. Bila dah baca tentang sejarah sebenar keadaan berlaku, terasa sayu melihat jeti ini. Andai komunis tak bom jeti dan bot, pasti ramai dapat diselamatkan
Rombongan kami sempat disajikan dengan buah durian, langsat dan pulasan dari dusun selepas selesai melawat keseluruhan kawasan Galeri Darurat Bukit Kepong. Terima kasih diucapkan kepada anggota-anggota polis untuk sajian dan keterangan yang sangat jelas dan mudah difahami tentang Sejarah Bukit Kepong.

Untuk maklumat lebih lanjut;
Galeri Darurat Bukit Kepong Muar
Alamat: Jln Muar-Labis, Bukit Kepong, 84600 Muar, Johor
Waktu Operasi: 10 pagi sehingga 6 petang (Tutup Isnin)
Facebook: Muzium Bukit Kepong

Berakhirnya lawatan ke Galeri Darurat Bukit Kepong, maka berakhirlah rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar Bandar Diraja. Tepat 11 malam kami selamat sampai ke Matic, Kuala Lumpur. Bagi Neeza sendiri sebenarnya banyak benda baru dan menarik yang Neeza baru tahu dan jelajah meskipun Neeza sendiri merupakan anak jati Muar dan ada juga perkara tentang Muar ini yang kawan-kawan rombongan tak sempat rasai seperti lawatan ke kilang perabot, kilang Mak Pom, mandi manda Air Panas Gersik, rasai mee bandung, rojak petis, pure asam pedas Jalan Junid, kopi 434 dan banyak lagi. Neeza pun faham, atas kepadatan waktu rombongan tak semua dapat eksplore. Mungkin di lain waktu dan masa. In Shaa Allah,

Apapun terima kasih sekali lagi kepada TRAM, Tourism Johor, Tourism Muar, Pejabat Daerah Muar, polis trafik dan seluruh pihak yang menjayakan rombongan famtrip ini. Neeza sangat seronok ikuti trip TRAM biarpun ini merupakan trip pertama Neeza dengan TRAM dan biarpun di bandar kelahiran sendiri. I am still so excited and it is really happening! Semoga kita berjumpa lagi pada rombongan akan datang.

Salam sayang,
Neeza

Tuesday, 30 January 2018

Lokasi Menarik di Muar - Rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar (Part 1)

Assalammualaikum dan hai semua,
Neeza nak sambung semula cerita Neeza tentang bandar Muar semasa Neeza mengikuti program Famtrip Malaysia Travel Writers Association (TRAM) ke sana. Selesai sahaja majlis pelancaran Muar Travel Map 1.0, kami dibawa ke bandar Muar dan mengunjungi ke 2 lokasi, Muar Mural Trail iaitu Adikku Sayang dan Kuil Hindu.
Untuk pengetahuan anda, mural Adikku Sayang ini merupakan mural potret terbesar di Malaysia iaitu berukuran tinggi 11.89 m dan 9.75 m telah dilukis oleh Julia Volchkova, seorang pelukis mural dari Rusia. Mural ini terletak di Jalan Arab, Muar di mana bertentangan dengan stesen Shell. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, lukisan ini berjaya disiapkan pada 17 Julai 2016 iaitu dalam tempoh 10 hari sahaja.

Lukisan mural ini telah diiktiraf dan dicatatkan dalam "Malaysia Book Of Records" sebagai mural potret yang terbesar di Malaysia pada 18 Julai 2016.

Inspirasi lukisan Adikku Sayang atau dalam bahasa Inggerisnya, The Loving Sisters ini adalah daripada wajah adik beradik, Nur Najwa Aliesya, 7 tahun dan adiknya Nur Najiyah Amani, 3 tahun dari Muar. Sebenarnya. pelukis Julia telah terserempak dengan mereka ketika berada di Tanjung Emas, taman rekreasi yang terkenal di kalangan rakyat Muar.
Julia telah merakam potret adik beradik ini dan mengabdikannya dalam lukisan mural ini. Bagi Julia, ekspresi dari raut wajah ini menambat hatinya terutama sepasang mata yang memukau selain kasih sayang ditunjukkan oleh adik beradik ini mencerminkan eratnya permuafakatan dan rasa cinta warga Muar terhadap Bandar Diraja ini. Maka dengan ini. terhasillah juga slogan Orang Muo, Gaya Muo.
Kemudian kami bergerak ke Kuil Hindu di Jalan Meriam di mana ia terletak di tengah kawasan bandar Muar. Berdasarkan pencarian Neeza di laman internet, Kuil Hindu ini dikenali sebagai Kuil Nattukottai Chettiars Sri Murugan yang merupakan merupakan kuil Hindu tertua di Muar di Jalan Meriam.
Ia mempunyai kubah yang unik dan cantik dengan elemen seni bina Hindu India Lama.Ia juga dikenali sebagai kuil Nattukottai Chettiars kerana sumbangan komuniti dalam membina kuil di mana penganut setempat melawat untuk mendapat berkat suci daripada Tuhan Murugan (Lord Murugan) sejak zaman awal ia dibina.
Tetamu-tetamu VIP disambut baik oleh pihak kuil
Berpeluang masuk ke dalam kuil dan melihat seni bina Hindu Lama
Seterusnya kami bergerak menuju ke Pantai Leka yang terletak di Parit Jawa di mana Parit Jawa ini merupakan lokasi popular masakan asam pedas di daerah Muar. Asam pedas Parit Jawa yang popular sebenarnya terletak di kawasan berhampiran pasar Parit Jawa yang menjadi tumpuan rakyat Muar membeli ikan dan tumpuan peraih sebelum dibahagikan ke kawasan pasar-pasar dan kedai-kedai Muar. Kalau datang sini, harga memang murah dan ikannya sangat segar.
Hidangan tengahari kami
Kalau cerita pasal asam pedas ini kebiasaannya ikan yang digunakan adalah seperti ikan pari, tenggiri, jenahak, mayong dan sebagainya. Ada juga asam pedas telur ikan. Sumpah sedap. Mana nak cari asam pedas yang power? Neeza sarankan pergi ke Asam Pedas Jalan Junid atau Medan Selera Tanjung Emas, gerai nombor 15.

Kalau nak makan seafood yang sedap, anda kena pergi Sabak Awor. Biasanya dibuka pada petang sehingga lewat malam. Dan biasanya Neeza pergi kedai Wak Jos. Kalau ditanya makanan lain yang patut dicuba ketika berada di Muar iaitu Mee Bandung Hanipah terletak di tengah bandar Muar. Ada juga cawangan di Medan Selera Tanjung Emas. Tak ingat pula gerai nombor berapa. Hehe.

Selain itu, rojak petis dan ABC Tanjung Emas adalah makanan kesukaan rakyat di sini. Mana nak dapat? Sekali lagi di Medan Selera Tanjung Emas. Ya, di sini pelbagai makanan terkenal Muar ada. Tapi rombongan kami tak dapat ke sini kerana kekangan waktu dalam jadual. I is sokay sebab dah biasa makan. Tengoklah kalau rajin nanti Neeza akan post dalam entri akan datang.
Selesai sahaja jamuan, kami dibawa melihat persembahan tarian singa dan naga Kung Seng Keng, iaitu merupakan juara bertahan Kejuaraan Dunia Tarian Singa seluruh dunia. Neeza pun baru tahu ini sepanjang hidup selama 23 tahun di Muar. Hahaha.
Memang hebat mereka ini kerana mampu menari seperti naga dan melompat di palang yang tinggi. Terpukau seketika. Kami dimaklumkan, penari-penari terlatih di sini bukan sahaja berbangsa cina, malahan ada yang berbangsa India dan Melayu menujukkan perpaduan kaum di Malaysia.
Banyak tau piala yang diperoleh mereka. Sampai satu rumah disediakan untuk menempat piala-piala itu.
Selesai sahaja melihat persembahan singa, rombongan dibawa ke tour ke 2 lokasi dalam konsep "round robin" iaitu Desa Kerome Eco Resort dan Muar River Cruise. Sampai sahaja Desa Kerome Eco Resort, turun sahaja daripada bas, kami dikehendaki ke Jeti Kampung Kerome dan dibawa menaiki bot untuk melihat proses mendapatkan kupang dan kerang. Neeza rasa teruja sepanjang dibesarkan di Muar, inilah kali pertama Neeza merasai pengalaman ini. Bukan apa, Desa Kerome Eco Resort ini baru sahaja dibangunkan dan bakal menjadi lokasi tarikan daerah Muar.
Jeti Desa Kerome
Semua dah teruja naik bot :-p
Desa Kerome Eco Resort ini bukan sekadar tempat penginapan homestay yang biasa-biasa tau. Bagi Neeza, Desa Kerome Eco Resort sangat sesuai untuk mereka yang berhasrat untuk mengadakan team building kerana ia menyediakan pengalaman memanah, merasai menaiki bot ke perairan Selat Melaka dan melihat nelayan mendapatkan kupang dan kerang secara manual. Kami sempat makan kupang segar yang dimasak di atas pelantar di tengah-tengah laut itu tau. Seronok kan?
Aktiviti memanah sedang berlangsung
Menuju ke perairan Selat Melaka
Inilah pelantar kupang yang bakal kami kunjungi (pemandangan dari jauh)
Jarak dekat pelantar kupang. Tak sabarnya nak lihat proses tangkapan kupang
Tunggu dulu naaa. Kalau semua dalam boat naik, takut runtuh pula pelantar. Hehe
Neeza gayat tapi naik juga. Haaa gigih tak dengan skirt panjat pelantar demi kupang. :-p
Oh macam ini rupanya kupang diambil
Menurut pihak Desa Kerome Eco Resort, kebiasaan anggaran sekali tangkapan lebih kurang 90 kg.
Pengalaman berharga dapat kenduri makan kupang fresh masak serai di tengah laut. Manis masin. Sedap!
Bagi bagi mereka yang sangat menjaga kecantikan, anda sepatutnya tidak melepaskan peluang masuk dalam lumpur dan sapu ke seluruh wajah dan badan. Yang ini natural 100%. Lagi best dari mud clay dalam botol yang ada di pasaran.
Pengalaman ini ternyata bagi Neeza sangat menarik dan rugi kalau pelancong tidak datang ke Desa Kerome Eco Resort. Balik sahaja dari menaiki bot ke perairan Selat Melaka, kami menjamu selera Laksa Johor, Pisang Goreng Sambal Kicap dengan air kelapa Gula Kabong, Lempeng dan ubi rebus cecah sambal dan banyak lagi. Haaaa, kalau datang Johor, kalau anda tak makan ini memang rugi. Neeza kadang-kadang sampai rindu tau makanan ini semua bila ada dekat Shah Alam. Memang susah nak cari pisang goreng sambal kicap uihh. Satu-satunya gerai yang jual ada depan Aeon Shah Alam.
Dah lama tak jumpa air kelapa gula kabung
Bila dah lama tak makan, mulalah tamak nak ambil semua :-p
Oh ya, sekiranya anda mencari penginapan ketika berada di Muar dan merasai pengalaman kampung, Deso Kerome Eco Resort menyediakan pakej-pakej yang sesuai. Lihatlah sendiri gambar ini, tempat penginapan pun tampak selesa. Setiap chalet ada aircond tau.
Beraneka reka bentuk chalet disediakan di sini

Untuk maklumat lebih lanjut tentang Desa Kerome Eco Resort, boleh hubungi Abang Aji Muo dan FB Desa Keroma Eco Resort

Selesai sahaja aktiviti di Desa Kerome Eco Resort, rombongan kami bergerak ke Muar River Cruise yang terletak di Tanjung Emas. Kami menaiki bot dan melalui perairan Sungai Muar. Waktu perjalanan 30 minit dari 9 pagi sehingga 6 petang. Tiket berharga RM6 untuk kanak-kanak dan RM12.00 untuk dewasa. Sewa khas cuma RM 450.00 sahaja. Untuk maklumat lebih lanjut, boleh hubungi Encik Zaidi: 019-6658827. Sambil melihat keindahan sungai Muar, kami juga diperkenalkan bangunan-bangunan bersejarah di Muar. 
Jom naik cruise melayari Sungai Muar

Bersama rakan blogger Betty dan Emil
Selesai sahaja aktiviti kami di Muar River Cruise, kami terus ke Muar Traders Hotel untuk check ini. Neeza sebilik dengan blogger Emil. Kami dapat bilik double single. Melangkah masuk ke dalam bilik hotel, persepsi Neeza "oh, not bad juga". Konsep minimalis moden memikat hati kami. Untuk maklumat lebih lanjut dan tempahan www.muartradershotel.com.my/ .
Tilam empuk. Ralat betul nak bangun pagi. Nasib baik dapat tidur 6 jam
Bila pasang semua lampu :')
Konsep minimalis hitam dan putih. Lawa kan?
Setelah check in, jam 8.00 malam kami dikehendaki ke Ringo Market di Laman Ole-oleh Maharani yang bersebelahan dengan hotel. Mungkin perayaan tahun baru Cina bakal menjelang tiba, kebanyakan penjual di sini rata-rata orang Cina.
Kemudian kami menaiki bas untuk ke Restoran Marina Tanjung Emas. Restoran Marina ini merupakan lokasi dewan yang terhangat di Muar untuk pasangan raja sehari mengadakan majlis resepsi dan bersanding di sini; Maklumlah di tepi laut kan. Sekali lagi kamu dijamu dengan asam pedas, telur masin, dan macam-macam lagi sambil dihiburkan dengan joget lambak dan tarian zapin serta band Marina Muar.

Payung makan malam je. Dah lapar sangat, tak ingat nak ambil gambar persembahan. Hehe
Selesai sahaja makan malam, sekiranya anda ke Tanjung Emas, anda wajib cuba menaiki kereta atau basikal beraneka warna dan corak menarik.
Seterusnya rombongan kami dibawa ke Uptown Maharani dan menikmati sup kambing yang terkeal di Muar iaitu Amir Soup House. Selain daripada sup, makanan Mamak, makanan Melayu dan banyak lagi turut dijual di sini. Untuk keterangan lebih lanjut, boleh klik muarsouphouse.com .
Wah semua gembira dapat makan kenyang,
Dan itulah merupakan aktiviti terakhir kami pada hari pertama rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar, bandar Diraja. Dan kami pun bertolak balik menuju ke hotel dan berehat.

Sekian sahaja cerita Neeza pada hari pertama rombongan famtrip TRAM ke Bandar Muar. Nanti ikuti hari kedua pada entri akan datang ya. BACA SINI - PART 2

p/s: Sesetengah gambar dari group whatsapp TRAM ke Muar. Minta halal naaaaaa.

Salam sayang,
Neeza.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2016 JIAKREATIFELT.