Monday 29 January 2018

Rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar dan Pelancaran Muar Travel Map 1.0

Assalaammualaikum dan hai semua,
Neeza baru sahaja pulang dari mengikuti Program Famtrip Malaysia Travel Writers Association (TRAM) ke Muar Bandar Maharani Bandar Diraja Johor pada 27 dan 28 Januari 2018. Baru semalam balik. Hehe.
Mesti ada yang tertanya kenapa Neeza memilih untuk mengikuti rombongan ke Muar ini?

Okay, sebenarnya kan...

Neeza memang dilahirkan di Muar, Johor dan membesar di sana. Kiranya memang anak Jati Muo lah ini. Hehe. Nak tahu originaliti orang sini atau tidak, mereka panggil Muar ini Muo. Haaa. Gitu. Jangan pelik, okay? Cuma sekarang ini Neeza menetap di Shah Alam kerana menyambung pengajian di sini dan semakin serius menjadi blogger untuk menimba pengalaman di sini. Itu sebab posting dalam blog ini banyak berkisarkan di kawasan Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Jadi Neeza nak ambil peluang menyertai rombongan ini untuk ceritakan tentang keunikan berada di Muar dan banyak sebenarnya perubahan yang telah berlaku berada di Muar. Jadi Neeza rasa ini adalah masa yang sesuai untuk cerita pada pembaca tentang daerah Muar ini.

Oh ya, sepatutnya Neeza mengikuti rombongan ini berkumpul di Matic, Kuala Lumpur pagi itu. Akan tetapi Neeza memang dah berada di Muar, makanya Neeza terus sahaja menunggu rombongan ini di Hotel Muar Traders yang bersebelahan di Laman Oleh-oleh Maharani, Muar.
Apabila rombongan sampai, paluan kompang dan seni silat Muar oleh Tourism Muar memeriahkan suasana menyambut mereka. Uniknya, terdapat juga pameran basikal dahulu kala dan mereka yang memakai pakaian seragam askar Jepun. Menggambarkan suasana dahulu kala. Menarik kan?
Zoom sikit basikal. Antik kan? 
Wah siap salute Yuichiro Kinjo, duta Jepun yang paling popular dalam rombongan TRAM
Selesai sahaja pendaftaran, majlis ini telah dimulakan oleh hos pengacara majlis Taleeb Mizad, ikon pelancongan Muar. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan Tuan Pegawai Daerah Muar dan Tuan Pengarah Tourism Johor. Kemudian, sesi pengenalan industri pelancongan daerah Muar oleh Encik Chua Teck Boon, Setiausaha Tourism Muar. Usai, Muar Travel Map 1.0 telah dilancarkan. 
Pengacara berbaju coklat itulah Taleeb Mizad. penyanyi dan ikon Pelancongan Muar
Tujuan Muar Travel Map 1.0 ini diadakan untuk memperkenalkan Muar sebagai daerah bandar pelancongan sertal lokasi-lokasi yang harus anda kunjungi apabila berada di negeri Johor Darul Takzim. Kalau anda nak tahu, sebagai anak Muo, bandar Muar ini merupakan antara daerah yang menjadi perhatian Duli Yang Maha Mulia, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di mana Sultan Johor kerap turun ke bandar Muar ini.
Inilah Muar Travel Map 1.0 
Logo Rasmi Tourism Muar
Signature Muo dan Zapin
Pelbagai pelbagai perubahan sudah dan sedang dilakukan ketika ini sejak bandar Muar diisytiharkan sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja pada 24 November 2012 oleh Tuanku Sultan Johor. Perubahan dan anjakan reformasi ini sekali gus memadam gelaran tipikalnya sebagai ‘bandar pencen’.

Terbaru, bandar Muar telah mendapat Anugerah Bandar Paling Bersih di Asean. Mengikuti informasi daripada Tourism Muar, ini adalah daripada pemerhatian Tuanku Sultan Johor sendiri yang mahukan bandar ini bersih dan usaha giat telah dijalankan oleh Pejabat Daerah Muar, Majlis Pembandaran Muar dan Tourism Muar untuk merealisasikan hasrat Baginda dalam menjadikan bandar Muar bandar bersih. Alhamdulillah. Dari sudut agama Islam sendiri, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Tahniah rakyat Muo! Pengiktiran ini sekaligus boleh menjadi tarikan pelancongan ke bandar Muar ini. 
Jika diimbau kembali sejarah Muar, detik puncak kegemila­ngan Bandar Maharani sebenarnya di bawah pemerintahan serta pentad­biran Sultan Abu Bakar, dikenali sebagai Bapa Johor Moden dan legasi­nya telah berjaya memodenkan bandar Muar yang muncul antara bandar terbesar dan menjadi kegia­tan ekonomi utama di Johor. Antara pencapaian bandar Muar ketika itu, Muar mempunyai peta lengkap negeri Johor, juga peta lengkap negeri pertama di Semenanjung Tanah Melayu.

Ia juga merupakan satu-satunya bandar yang mempunyai sistem kereta api sendiri sejauh 22.5 km pada tahun 1889 dan berakhir pada tahun 1925 dan bandar Muar mempunyai mahkota Kesultanan Melayu pertama. Oleh kerana itu, jangan hairan bila berada di bandar Muar dan daerah-daerah lain di negeri Johor telah dibangunkan artifak Mahkota Johor. 
Selsai sahaja majlis pelancaran, sesi bergambar telah diadakan sebagai tanda kenangan TRAM di Tangga Agong Muar, Pejabat Daerah Muar. Kemudian, rombongan kami telah bergerak ke lokasi-lokasi menarik yang menjadi tumpuan bandar Muar sebagai bandar pelancongan. Nak tahu apa dia? Ikuti entri seterusnya. Best tau. :-)
Rombongan TRAM di Tangga Agong Muar. Neeza anak Muo ini baru first time bergambar di sini,
Apapun terima kasih kepada kak As yang telah ajak Neeza untuk sertai sama rombongan ini dan ribuan terima kasih kepada Dato' Azlie Halim (TRAM), Tourism Muar, Tourism Johor, dan Pejabat Daerah Muar yang telah mengatur program ini. Oh ya, tidak dilupakan terima kasih kepada pihak polis trafik yang membantu melancarkan perjalanan kami sepanjang berada di Muar.

p/s: Kredit gambar FB Tourism Muar dan Group Whatsapp TRAM Muar, Johor. Minta halal naaaa. :-)

Salam sayang,
Neeza

No comments:

Post a Comment

No word verification needed. You are freely to drop any comments includes opinion and suggestion here. Thank you :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2016 JIAKREATIFELT.