Tuesday, 30 January 2018

Lokasi Menarik di Muar - Rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar (Part 1)

Assalammualaikum dan hai semua,
Neeza nak sambung semula cerita Neeza tentang bandar Muar semasa Neeza mengikuti program Famtrip Malaysia Travel Writers Association (TRAM) ke sana. Selesai sahaja majlis pelancaran Muar Travel Map 1.0, kami dibawa ke bandar Muar dan mengunjungi ke 2 lokasi, Muar Mural Trail iaitu Adikku Sayang dan Kuil Hindu.
Untuk pengetahuan anda, mural Adikku Sayang ini merupakan mural potret terbesar di Malaysia iaitu berukuran tinggi 11.89 m dan 9.75 m telah dilukis oleh Julia Volchkova, seorang pelukis mural dari Rusia. Mural ini terletak di Jalan Arab, Muar di mana bertentangan dengan stesen Shell. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, lukisan ini berjaya disiapkan pada 17 Julai 2016 iaitu dalam tempoh 10 hari sahaja.

Lukisan mural ini telah diiktiraf dan dicatatkan dalam "Malaysia Book Of Records" sebagai mural potret yang terbesar di Malaysia pada 18 Julai 2016.

Inspirasi lukisan Adikku Sayang atau dalam bahasa Inggerisnya, The Loving Sisters ini adalah daripada wajah adik beradik, Nur Najwa Aliesya, 7 tahun dan adiknya Nur Najiyah Amani, 3 tahun dari Muar. Sebenarnya. pelukis Julia telah terserempak dengan mereka ketika berada di Tanjung Emas, taman rekreasi yang terkenal di kalangan rakyat Muar.
Julia telah merakam potret adik beradik ini dan mengabdikannya dalam lukisan mural ini. Bagi Julia, ekspresi dari raut wajah ini menambat hatinya terutama sepasang mata yang memukau selain kasih sayang ditunjukkan oleh adik beradik ini mencerminkan eratnya permuafakatan dan rasa cinta warga Muar terhadap Bandar Diraja ini. Maka dengan ini. terhasillah juga slogan Orang Muo, Gaya Muo.
Kemudian kami bergerak ke Kuil Hindu di Jalan Meriam di mana ia terletak di tengah kawasan bandar Muar. Berdasarkan pencarian Neeza di laman internet, Kuil Hindu ini dikenali sebagai Kuil Nattukottai Chettiars Sri Murugan yang merupakan merupakan kuil Hindu tertua di Muar di Jalan Meriam.
Ia mempunyai kubah yang unik dan cantik dengan elemen seni bina Hindu India Lama.Ia juga dikenali sebagai kuil Nattukottai Chettiars kerana sumbangan komuniti dalam membina kuil di mana penganut setempat melawat untuk mendapat berkat suci daripada Tuhan Murugan (Lord Murugan) sejak zaman awal ia dibina.
Tetamu-tetamu VIP disambut baik oleh pihak kuil
Berpeluang masuk ke dalam kuil dan melihat seni bina Hindu Lama
Seterusnya kami bergerak menuju ke Pantai Leka yang terletak di Parit Jawa di mana Parit Jawa ini merupakan lokasi popular masakan asam pedas di daerah Muar. Asam pedas Parit Jawa yang popular sebenarnya terletak di kawasan berhampiran pasar Parit Jawa yang menjadi tumpuan rakyat Muar membeli ikan dan tumpuan peraih sebelum dibahagikan ke kawasan pasar-pasar dan kedai-kedai Muar. Kalau datang sini, harga memang murah dan ikannya sangat segar.
Hidangan tengahari kami
Kalau cerita pasal asam pedas ini kebiasaannya ikan yang digunakan adalah seperti ikan pari, tenggiri, jenahak, mayong dan sebagainya. Ada juga asam pedas telur ikan. Sumpah sedap. Mana nak cari asam pedas yang power? Neeza sarankan pergi ke Asam Pedas Jalan Junid atau Medan Selera Tanjung Emas, gerai nombor 15.

Kalau nak makan seafood yang sedap, anda kena pergi Sabak Awor. Biasanya dibuka pada petang sehingga lewat malam. Dan biasanya Neeza pergi kedai Wak Jos. Kalau ditanya makanan lain yang patut dicuba ketika berada di Muar iaitu Mee Bandung Hanipah terletak di tengah bandar Muar. Ada juga cawangan di Medan Selera Tanjung Emas. Tak ingat pula gerai nombor berapa. Hehe.

Selain itu, rojak petis dan ABC Tanjung Emas adalah makanan kesukaan rakyat di sini. Mana nak dapat? Sekali lagi di Medan Selera Tanjung Emas. Ya, di sini pelbagai makanan terkenal Muar ada. Tapi rombongan kami tak dapat ke sini kerana kekangan waktu dalam jadual. I is sokay sebab dah biasa makan. Tengoklah kalau rajin nanti Neeza akan post dalam entri akan datang.
Selesai sahaja jamuan, kami dibawa melihat persembahan tarian singa dan naga Kung Seng Keng, iaitu merupakan juara bertahan Kejuaraan Dunia Tarian Singa seluruh dunia. Neeza pun baru tahu ini sepanjang hidup selama 23 tahun di Muar. Hahaha.
Memang hebat mereka ini kerana mampu menari seperti naga dan melompat di palang yang tinggi. Terpukau seketika. Kami dimaklumkan, penari-penari terlatih di sini bukan sahaja berbangsa cina, malahan ada yang berbangsa India dan Melayu menujukkan perpaduan kaum di Malaysia.
Banyak tau piala yang diperoleh mereka. Sampai satu rumah disediakan untuk menempat piala-piala itu.
Selesai sahaja melihat persembahan singa, rombongan dibawa ke tour ke 2 lokasi dalam konsep "round robin" iaitu Desa Kerome Eco Resort dan Muar River Cruise. Sampai sahaja Desa Kerome Eco Resort, turun sahaja daripada bas, kami dikehendaki ke Jeti Kampung Kerome dan dibawa menaiki bot untuk melihat proses mendapatkan kupang dan kerang. Neeza rasa teruja sepanjang dibesarkan di Muar, inilah kali pertama Neeza merasai pengalaman ini. Bukan apa, Desa Kerome Eco Resort ini baru sahaja dibangunkan dan bakal menjadi lokasi tarikan daerah Muar.
Jeti Desa Kerome
Semua dah teruja naik bot :-p
Desa Kerome Eco Resort ini bukan sekadar tempat penginapan homestay yang biasa-biasa tau. Bagi Neeza, Desa Kerome Eco Resort sangat sesuai untuk mereka yang berhasrat untuk mengadakan team building kerana ia menyediakan pengalaman memanah, merasai menaiki bot ke perairan Selat Melaka dan melihat nelayan mendapatkan kupang dan kerang secara manual. Kami sempat makan kupang segar yang dimasak di atas pelantar di tengah-tengah laut itu tau. Seronok kan?
Aktiviti memanah sedang berlangsung
Menuju ke perairan Selat Melaka
Inilah pelantar kupang yang bakal kami kunjungi (pemandangan dari jauh)
Jarak dekat pelantar kupang. Tak sabarnya nak lihat proses tangkapan kupang
Tunggu dulu naaa. Kalau semua dalam boat naik, takut runtuh pula pelantar. Hehe
Neeza gayat tapi naik juga. Haaa gigih tak dengan skirt panjat pelantar demi kupang. :-p
Oh macam ini rupanya kupang diambil
Menurut pihak Desa Kerome Eco Resort, kebiasaan anggaran sekali tangkapan lebih kurang 90 kg.
Pengalaman berharga dapat kenduri makan kupang fresh masak serai di tengah laut. Manis masin. Sedap!
Bagi bagi mereka yang sangat menjaga kecantikan, anda sepatutnya tidak melepaskan peluang masuk dalam lumpur dan sapu ke seluruh wajah dan badan. Yang ini natural 100%. Lagi best dari mud clay dalam botol yang ada di pasaran.
Pengalaman ini ternyata bagi Neeza sangat menarik dan rugi kalau pelancong tidak datang ke Desa Kerome Eco Resort. Balik sahaja dari menaiki bot ke perairan Selat Melaka, kami menjamu selera Laksa Johor, Pisang Goreng Sambal Kicap dengan air kelapa Gula Kabong, Lempeng dan ubi rebus cecah sambal dan banyak lagi. Haaaa, kalau datang Johor, kalau anda tak makan ini memang rugi. Neeza kadang-kadang sampai rindu tau makanan ini semua bila ada dekat Shah Alam. Memang susah nak cari pisang goreng sambal kicap uihh. Satu-satunya gerai yang jual ada depan Aeon Shah Alam.
Dah lama tak jumpa air kelapa gula kabung
Bila dah lama tak makan, mulalah tamak nak ambil semua :-p
Oh ya, sekiranya anda mencari penginapan ketika berada di Muar dan merasai pengalaman kampung, Deso Kerome Eco Resort menyediakan pakej-pakej yang sesuai. Lihatlah sendiri gambar ini, tempat penginapan pun tampak selesa. Setiap chalet ada aircond tau.
Beraneka reka bentuk chalet disediakan di sini

Untuk maklumat lebih lanjut tentang Desa Kerome Eco Resort, boleh hubungi Abang Aji Muo dan FB Desa Keroma Eco Resort

Selesai sahaja aktiviti di Desa Kerome Eco Resort, rombongan kami bergerak ke Muar River Cruise yang terletak di Tanjung Emas. Kami menaiki bot dan melalui perairan Sungai Muar. Waktu perjalanan 30 minit dari 9 pagi sehingga 6 petang. Tiket berharga RM6 untuk kanak-kanak dan RM12.00 untuk dewasa. Sewa khas cuma RM 450.00 sahaja. Untuk maklumat lebih lanjut, boleh hubungi Encik Zaidi: 019-6658827. Sambil melihat keindahan sungai Muar, kami juga diperkenalkan bangunan-bangunan bersejarah di Muar. 
Jom naik cruise melayari Sungai Muar

Bersama rakan blogger Betty dan Emil
Selesai sahaja aktiviti kami di Muar River Cruise, kami terus ke Muar Traders Hotel untuk check ini. Neeza sebilik dengan blogger Emil. Kami dapat bilik double single. Melangkah masuk ke dalam bilik hotel, persepsi Neeza "oh, not bad juga". Konsep minimalis moden memikat hati kami. Untuk maklumat lebih lanjut dan tempahan www.muartradershotel.com.my/ .
Tilam empuk. Ralat betul nak bangun pagi. Nasib baik dapat tidur 6 jam
Bila pasang semua lampu :')
Konsep minimalis hitam dan putih. Lawa kan?
Setelah check in, jam 8.00 malam kami dikehendaki ke Ringo Market di Laman Ole-oleh Maharani yang bersebelahan dengan hotel. Mungkin perayaan tahun baru Cina bakal menjelang tiba, kebanyakan penjual di sini rata-rata orang Cina.
Kemudian kami menaiki bas untuk ke Restoran Marina Tanjung Emas. Restoran Marina ini merupakan lokasi dewan yang terhangat di Muar untuk pasangan raja sehari mengadakan majlis resepsi dan bersanding di sini; Maklumlah di tepi laut kan. Sekali lagi kamu dijamu dengan asam pedas, telur masin, dan macam-macam lagi sambil dihiburkan dengan joget lambak dan tarian zapin serta band Marina Muar.

Payung makan malam je. Dah lapar sangat, tak ingat nak ambil gambar persembahan. Hehe
Selesai sahaja makan malam, sekiranya anda ke Tanjung Emas, anda wajib cuba menaiki kereta atau basikal beraneka warna dan corak menarik.
Seterusnya rombongan kami dibawa ke Uptown Maharani dan menikmati sup kambing yang terkeal di Muar iaitu Amir Soup House. Selain daripada sup, makanan Mamak, makanan Melayu dan banyak lagi turut dijual di sini. Untuk keterangan lebih lanjut, boleh klik muarsouphouse.com .
Wah semua gembira dapat makan kenyang,
Dan itulah merupakan aktiviti terakhir kami pada hari pertama rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar, bandar Diraja. Dan kami pun bertolak balik menuju ke hotel dan berehat.

Sekian sahaja cerita Neeza pada hari pertama rombongan famtrip TRAM ke Bandar Muar. Nanti ikuti hari kedua pada entri akan datang ya. BACA SINI - PART 2

p/s: Sesetengah gambar dari group whatsapp TRAM ke Muar. Minta halal naaaaaa.

Salam sayang,
Neeza.

Monday, 29 January 2018

Rombongan Famtrip TRAM ke Bandar Muar dan Pelancaran Muar Travel Map 1.0

Assalaammualaikum dan hai semua,
Neeza baru sahaja pulang dari mengikuti Program Famtrip Malaysia Travel Writers Association (TRAM) ke Muar Bandar Maharani Bandar Diraja Johor pada 27 dan 28 Januari 2018. Baru semalam balik. Hehe.
Mesti ada yang tertanya kenapa Neeza memilih untuk mengikuti rombongan ke Muar ini?

Okay, sebenarnya kan...

Neeza memang dilahirkan di Muar, Johor dan membesar di sana. Kiranya memang anak Jati Muo lah ini. Hehe. Nak tahu originaliti orang sini atau tidak, mereka panggil Muar ini Muo. Haaa. Gitu. Jangan pelik, okay? Cuma sekarang ini Neeza menetap di Shah Alam kerana menyambung pengajian di sini dan semakin serius menjadi blogger untuk menimba pengalaman di sini. Itu sebab posting dalam blog ini banyak berkisarkan di kawasan Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Jadi Neeza nak ambil peluang menyertai rombongan ini untuk ceritakan tentang keunikan berada di Muar dan banyak sebenarnya perubahan yang telah berlaku berada di Muar. Jadi Neeza rasa ini adalah masa yang sesuai untuk cerita pada pembaca tentang daerah Muar ini.

Oh ya, sepatutnya Neeza mengikuti rombongan ini berkumpul di Matic, Kuala Lumpur pagi itu. Akan tetapi Neeza memang dah berada di Muar, makanya Neeza terus sahaja menunggu rombongan ini di Hotel Muar Traders yang bersebelahan di Laman Oleh-oleh Maharani, Muar.
Apabila rombongan sampai, paluan kompang dan seni silat Muar oleh Tourism Muar memeriahkan suasana menyambut mereka. Uniknya, terdapat juga pameran basikal dahulu kala dan mereka yang memakai pakaian seragam askar Jepun. Menggambarkan suasana dahulu kala. Menarik kan?
Zoom sikit basikal. Antik kan? 
Wah siap salute Yuichiro Kinjo, duta Jepun yang paling popular dalam rombongan TRAM
Selesai sahaja pendaftaran, majlis ini telah dimulakan oleh hos pengacara majlis Taleeb Mizad, ikon pelancongan Muar. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan Tuan Pegawai Daerah Muar dan Tuan Pengarah Tourism Johor. Kemudian, sesi pengenalan industri pelancongan daerah Muar oleh Encik Chua Teck Boon, Setiausaha Tourism Muar. Usai, Muar Travel Map 1.0 telah dilancarkan. 
Pengacara berbaju coklat itulah Taleeb Mizad. penyanyi dan ikon Pelancongan Muar
Tujuan Muar Travel Map 1.0 ini diadakan untuk memperkenalkan Muar sebagai daerah bandar pelancongan sertal lokasi-lokasi yang harus anda kunjungi apabila berada di negeri Johor Darul Takzim. Kalau anda nak tahu, sebagai anak Muo, bandar Muar ini merupakan antara daerah yang menjadi perhatian Duli Yang Maha Mulia, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di mana Sultan Johor kerap turun ke bandar Muar ini.
Inilah Muar Travel Map 1.0 
Logo Rasmi Tourism Muar
Signature Muo dan Zapin
Pelbagai pelbagai perubahan sudah dan sedang dilakukan ketika ini sejak bandar Muar diisytiharkan sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja pada 24 November 2012 oleh Tuanku Sultan Johor. Perubahan dan anjakan reformasi ini sekali gus memadam gelaran tipikalnya sebagai ‘bandar pencen’.

Terbaru, bandar Muar telah mendapat Anugerah Bandar Paling Bersih di Asean. Mengikuti informasi daripada Tourism Muar, ini adalah daripada pemerhatian Tuanku Sultan Johor sendiri yang mahukan bandar ini bersih dan usaha giat telah dijalankan oleh Pejabat Daerah Muar, Majlis Pembandaran Muar dan Tourism Muar untuk merealisasikan hasrat Baginda dalam menjadikan bandar Muar bandar bersih. Alhamdulillah. Dari sudut agama Islam sendiri, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Tahniah rakyat Muo! Pengiktiran ini sekaligus boleh menjadi tarikan pelancongan ke bandar Muar ini. 
Jika diimbau kembali sejarah Muar, detik puncak kegemila­ngan Bandar Maharani sebenarnya di bawah pemerintahan serta pentad­biran Sultan Abu Bakar, dikenali sebagai Bapa Johor Moden dan legasi­nya telah berjaya memodenkan bandar Muar yang muncul antara bandar terbesar dan menjadi kegia­tan ekonomi utama di Johor. Antara pencapaian bandar Muar ketika itu, Muar mempunyai peta lengkap negeri Johor, juga peta lengkap negeri pertama di Semenanjung Tanah Melayu.

Ia juga merupakan satu-satunya bandar yang mempunyai sistem kereta api sendiri sejauh 22.5 km pada tahun 1889 dan berakhir pada tahun 1925 dan bandar Muar mempunyai mahkota Kesultanan Melayu pertama. Oleh kerana itu, jangan hairan bila berada di bandar Muar dan daerah-daerah lain di negeri Johor telah dibangunkan artifak Mahkota Johor. 
Selsai sahaja majlis pelancaran, sesi bergambar telah diadakan sebagai tanda kenangan TRAM di Tangga Agong Muar, Pejabat Daerah Muar. Kemudian, rombongan kami telah bergerak ke lokasi-lokasi menarik yang menjadi tumpuan bandar Muar sebagai bandar pelancongan. Nak tahu apa dia? Ikuti entri seterusnya. Best tau. :-)
Rombongan TRAM di Tangga Agong Muar. Neeza anak Muo ini baru first time bergambar di sini,
Apapun terima kasih kepada kak As yang telah ajak Neeza untuk sertai sama rombongan ini dan ribuan terima kasih kepada Dato' Azlie Halim (TRAM), Tourism Muar, Tourism Johor, dan Pejabat Daerah Muar yang telah mengatur program ini. Oh ya, tidak dilupakan terima kasih kepada pihak polis trafik yang membantu melancarkan perjalanan kami sepanjang berada di Muar.

p/s: Kredit gambar FB Tourism Muar dan Group Whatsapp TRAM Muar, Johor. Minta halal naaaa. :-)

Salam sayang,
Neeza
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2016 JIAKREATIFELT.